16 JUL : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti kembali peraturan semasa Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dalam menangani kes penipuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM juga akan meneliti kembali peranan institusi perbankan dalam mempercepat tindakan membekukan akaun dan memulangkan dana kepada mangsa.
“Harapan rakyat mudah, akaun dibekukan segera, duit tak sempat lesap. Kalau boleh dipulangkan. Ini fokus utama kita.
“Sebab itu PDRM tampil ke depan, ambil tanggungjawab penuh dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
NSRC yang sebelum ini disokong empat agensi iaitu PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Agensi Pelaporan dan Pencegahan Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) kini diambil alih PDRM berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Saifuddin, PDRM menawarkan diri untuk menerajui pusat itu dan mengemukakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebelum ini, tiada agensi yang secara jelas mengambil peranan kepemimpinan.
“Dua minggu lalu, kita sudah membentangkan kepada Perdana Menteri bahawa PDRM menawarkan diri sebagai peneraju utama dan beliau bersetuju,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata 997 kekal menjadi saluran utama NSRC termasuk struktur asas agensi terlibat dalam pusat itu juga akan dikekalkan.
“Kalau sebelum ini pengendalian dilakukan melalui petugas yang dilantik institusi seperti BNM, kini ia akan diambil alih sepenuhnya oleh PDRM. Operasi NSRC dijamin 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
“Bermakna pada bila-bila masa mangsa menyedari mereka menjadi mangsa scam, mereka boleh terus menghubungi NSRC dan tindakan segera akan diambil,” katanya.
Selain itu, 139 jawatan baharu juga ditawarkan bagi mengukuhkan operasi pusat itu secara menyeluruh.
Pada masa sama, pusat operasi NSRC akan dipindah ke lokasi baharu.
“Penyelarasan pengisian jawatan dan keperluan logistik kini sedang diuruskan antara KSU (Ketua Setiausaha) KDN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
*FOTO : FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL