Perbaiki kemudahan berurus niaga, seru Anwar

16 JUL : Semua pihak terlibat diseru memperkukuh tekad dan usaha untuk memperbaiki ‘kemudahan berurus niaga’ di negara ini.
Seruan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara, hari ini.
“Susulan pencapaian Malaysia yang melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025, daripada kedudukan ke-34 ke tangga ke-23 yakni kedudukan terbaik dalam tempoh lima tahun, saya menyeru pihak terbabit terus memperkukuh tekad dan usaha memperbaiki ‘ease of doing business’ di negara ini.
“Antara langkah yang mendesak adalah pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap tatakelola dan sistem penyampaian perkhidmatan awam, agar lebih cekap, telus dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Katanya, langkah itu penting bagi menjamin kemakmuran negara, meningkatkan keyakinan pelabur dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi teras utama pembangunan.
Menurut Anwar, ketika mesyuarat itu pelbagai cadangan pembangunan merangkumi aspek perancangan guna tanah dan Rancangan Struktur Negeri diteliti seperti termaktub di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
*FOTO: PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA