Perhimpunan: Polis akui sukar tapi akur keputusan mahkamah
16 JUL : Pihak berkuasa akui berdepan sedikit kesulitan susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan penganjur tidak lagi wajib memaklumkan kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.
Namun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis akur dengan keputusan itu.
Katanya, ia menyukarkan pihak berkuasa untuk merancang kawalan keselamatan.
“Kalau hendak tanya apakah keputusan itu meletakkan polis dalam keadaan sulit? Memang sulitlah. Dahulu, bila penganjur diwajibkan maklum, polis boleh rancang dari segi penugasan anggota, bukan untuk menyekat (perhimpunan), tetapi untuk memudahkan.
“Sekarang, apabila tak perlu maklum, kita terpaksa guna segala sumber sedia ada untuk sesuaikan (keadaan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
Namun beliau menegaskan sebahagian besar peruntukan lain dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 masih berkuat kuasa dan wajib dipatuhi penganjur serta peserta.
“Tanggungjawab penganjur masih kekal, tanggungjawab peserta juga kekal. Larangan bawa senjata, larangan bawa kanak-kanak, larangan ucapan yang menghasut sentimen perkauman atau menyentuh institusi diraja, itu semua masih sah dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan kerajaan konsisten menghormati hak kebebasan bersuara rakyat di negara ini.
“Kerajaan ini tak pernah sekat himpunan. Tapi kita minta kerjasama. Jangan cetus provokasi, jangan langgar undang-undang.
“Kalau bawa kanak-kanak, kemudian kena tindakan, jangan salahkan polis,” katanya.
1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan adalah tidak berperlembagaan.
*FOTO : FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL