Kerajaan akan pertimbang pencalonan Nick Adams : Anwar

18 JUL : Kerajaan akan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap isu pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu masih terlalu awal bagi sebarang keputusan.
“Soal Nick Adams, itu kita ikut proses, masih terlalu awal.
“Kerajaan tentunya akan memberikan pertimbangan dan dalam keadaan yang sama hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (dijaga),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal, Presint 14, hari ini.
Pengumuman pencalonan Adams yang dibuat Presiden AS, Donald Trump sebelum ini dibantah pelbagai pihak.
Pencalonan pengulas konservatif dan penulis itu ditolak susulan sokongannya kepada Israel termasuk rekod kenyataan-kenyataannya yang kontroversial sebelum ini.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan setakat ini Kabinet masih belum menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan itu.
Jelas Fahmi, kebiasaannya jemaah menteri akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai mana-mana pelantikan duta ataupun perwakilan asing yang baharu.