18 JUL : New Zealand menyatakan hasrat untuk menyertai Majlis Halal ASEAN sebagai ahli bersekutu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata negara itu juga bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran produk-produk halal.
“New Zealand telah menyuarakan hasrat untuk menjadi ahli bersekutu dalam Majlis Halal ASEAN dan ini satu perkembangan positif yang membuka ruang kerjasama lebih luas dalam ekosistem halal, bukan sahaja antara dua negara tetapi juga di peringkat serantau.
“Tentunya dalam banyak pertemuan mereka juga telah bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pengedaran produk-produk halal dari New Zealand untuk pasaran negara ASEAN dan juga untuk pasaran tradisional yang ada jaringannya antara Malaysia dan negara-negara di luar,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada akhir lawatan kerja lima hari ke New Zealand pada Sabtu, waktu tempatan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata penglibatan New Zealand kelak mampu memperkukuh penyelarasan piawaian serta menjamin kebolehpasaran produk halal yang diyakini dan diterima pada peringkat global.
Selain itu katanya, Malaysia bersedia memainkan peranan sebagai hab halal serantau termasuk membuka peluang kepada syarikat dari New Zealand mengakses pasaran ASEAN melalui pelbagai inisiatif bersama termasuk penyertaan dalam pameran seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).
Susulan lawatan kerjanya kali ini, Ahmad Zahid berkata ia membuka lembaran baharu dalam pengukuhan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, industri halal, pengurusan bencana serta pemerkasaan komuniti Orang Asli, pertanian dan perdagangan.
Pada 2024, Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi New Zealand dengan nilai dagangan mencecah RM10.72 bilion.
