18 JUL : Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Pelantikan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Selain itu, baginda turut memperkenan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Turut dilantik, Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
Pengumuman itu dibuat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah melalui satu kenyataan di Facebook, tengah malam tadi.
“Dimaklumkan bahawa berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.
Wan Ahmad Farid, 62 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu.
Sebelumnya, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim diumum untuk menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.
Abu Bakar pula dilantik Presiden Mahkamah Rayuan bagi menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof sebelum ini dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.