18 JUL : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kesal susulan ada pihak yang memperlekeh lawatan rasminya selama lima hari bersama delegasi Malaysia ke New Zealand.
Beliau menyifatkan tindakan itu tidak wajar sedangkan lawatan kerja itu bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan negara dilawati.
Namun, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kesinisan pihak terbabit tidak perlu dilayan.
“Politik ialah makanan untuk orang politik sama ada menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri yang keluar negara, kesinisan itu jangan dilayan.
“Apa yang penting dalam lawatan kerja, lawatan rasmi adalah penimbaan kepada ilmu, pengalaman dan bidang-bidang baharu yang tidak ada di negara kita supaya kita boleh terokai,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada akhir lawatan kerja lima hari ke New Zealand pada Sabtu waktu tempatan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata semangat untuk belajar dari negara lain sepatutnya menjadi keutamaan dan bukannya terperangkap dalam kitaran kritikan yang tidak membina.
“Kalau yang baik, tanyalah kawan. Kalau yang tak baik, tanyalah musuh. Musuh, ini orang yang tak suka dengan kita.
“Apa pun yang kita buat tetap tidak baik…jangan angkuh, jangan sombong, jangan ujub,” katanya.
Tambahnya, lebih tidak wajar apabila kesinisan itu datang daripada mereka yang berlatar belakang agama hingga menjejaskan semangat kerjasama dan pembangunan.