Insya-ALLAH saya tidak akan turun : PM

19 JUL : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan sesekali berundur seperti yang didesak pembangkang.
Beliau mengingatkan pembangkang agar menggunakan saluran yang tepat di Parlimen jika berhasrat mengguling pentadbirannya.
Katanya, tiada alasan untuk beliau berundur seperti yang didesak.
“Jadi, apabila ada yang desak saya supaya turun, saya kata, Insya-ALLAH saya tidak akan turun kecuali kalau saya curi duit rakyat.
“Gunakan Parlimen untuk mengkritik. Kalau ada cukup jumlah, bawa usul. Itu caranya.
“Tariklah mana-mana ahli Parlimen yang mahu sokong dia (pembangkang), silakan. Kalau saya kalah, saya akan undur diri dengan baik. Itu cara yang aman dan terhormat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan keamanan yang dinikmati negara hari ini perlu dijaga dan mandat rakyat perlu dihormati.
“Negara ini aman. Jagalah keamanan ini. Negara-negara jiran kita, ada yang sedang bergolak.
“Tunggulah pilihan raya. Bila pilihan raya umum, saya belum umumkan lagi. Tapi untuk sekarang, jagalah keamanan negara,” katanya.
Terdahulu, Pemuda PAS dilapor akan menganjurkan Himpunan Turun Anwar 26 Julai ini.
