Terjemah kuasa melalui dasar sentuh denyut nadi rakyat

19 JUL : Peluang memegang tampuk kuasa perlu diterjemah melalui dasar, program dan projek yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat.
Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas melancarkan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026-2035, Program Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB, hari ini.
Menurutnya, sebagai pemimpin beliau amat memahami cabaran yang masih dihadapi masyarakat Bumiputera sama ada dalam merebut peluang perniagaan, memperkukuh keupayaan keusahawanan, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti ataupun dalam soal pemilikan rumah yang selesa dan mampu milik.
“Oleh itu, saya sering tegaskan bahawa kuasa bukan sekadar untuk disandang, atau keistimewaan tetapi adalah amanah yang mesti dimanfaatkan sebaiknya demi kebaikan rakyat.
“Peluang yang ada perlu diterjemahkan melalui dasar, program dan projek yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook usai menyempurnakan majlis itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Kerajaan MADANI tampil dengan komitmen yang jelas.
“Pelan Induk ini akan menjadi pemacu ke arah pembangunan komuniti Bumiputera yang lebih inklusif dan mampan.
“Program Tunas MADANI pula memberi fokus kepada usaha melahirkan usahawan muda yang berdaya tahan, manakala Projek Perumahan JKPSB akan menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik untuk rakyat,” katanya.
Pada majlis sama, turut diadakan Program Didik Kasih Peranti MADANI, iaitu satu inisiatif bagi memberi penghargaan kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
Majlis ini turut diserikan dengan kenduri rakyat yang menghimpunkan lebih 3,000 orang masyarakat setempat.
Kata Anwar, ia melambangkan keakraban dan keterbukaan pemimpin untuk terus bersama rakyat di setiap peringkat.

*OLEH : HANUM RAJAK