19 JUL : UMNO akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait isu Titah Adendum.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan itu dijangka diadakan dalam masa terdekat ini bagi menyampaikan hasrat 145 Ketua UMNO Bahagian.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap Anwar dapat menggunakan budi bicara dalam menunaikan hasrat tersebut.
“Saya akan menyampaikan hasrat mereka kepada Perdana Menteri dalam pertemuan sehari dua ini.
“Kita bukan mahu beliau campur tangan urusan mahkamah, cuma mudah-mudahan dapat menggunakan budi bicara sebagai Perdana Menteri melalui tatakelola dan perundangan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tampin, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyatakan kesediaan untuk bertemu pemimpin UMNO bagi menjelaskan isu yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebelumnya, Ketua UMNO Bahagian seluruh negara mendesak Anwar melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.