20 JUL : Malaysia dan Singapura meneroka ruang kerjasama strategik dalam bidang GovTech, perumahan awam dan pembaharuan sektor awam sekali gus memperkasa perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Malaysia berhasrat untuk belajar dengan SIngapura dalam bidang-bidang tersebut.
“Kita ingin belajar dengan Singapura, satu daripadanya mengenai GovTech sebab mereka telah buat GovTech dan kita dalam proses untuk meluncurkan GovTech.
“Mereka punya perumahan mampu milik melalui Lembaga Perumahan Singapura dan yang kita nak belajar tentang pembaharuan dalam perkhidmatan awam,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia), hari ini.
Beliau baru menamatkan lawatan kerjanya selama tiga hari ke kota singa itu bermula Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata Singapura menyambut baik kerjasama dan pertukaran amalan baik membabitkan kedua-dua negara bagi mempertingkat mutu perkhidmatan awam.
“Singapura menyambut baik cadangan kita…kita juga ada sesi dengan mereka untuk bincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau menyeru rakyat Malaysia membudayakan gaya hidup yang sihat melalui aktiviti bersukan dan pemakanan baik.
Mengambil contoh Singapura, beliau berkata purata jangka hayat penduduk di republik itu ialah 84 tahun berbanding kira-kira 73 hingga 74 tahun di Malaysia.
“Kita harus ingat mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” katanya.
*Foto : Facebook Shamsul Azri bin Abu Bakar