20 JUL : Selepas koma 20 tahun, putera raja Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud disahkan mangkat pada usia 36 tahun, semalam.
Ayahanda Allahyarham, Putera Khalid bin Talal mengesahkan pemergian anakandanya itu menerusi platform X.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda dan diredai.
“Dengan hati yang reda terhadap ketentuan Allah dan penuh kesedihan kami mengumumkan kemangkatan anakanda kami tercinta. Semoga Allah merahmatinya,” tulisnya.
Putera Khalid memaklumkan solat jenazah diadakan pada Ahad, dengan majlis tahlil dan ziarah takziah berlangsung sehingga Selasa.
Allahyarham dikenali sebagai ‘Putera Tidur’ koma selepas terlibat kemalangan pada usia 16 tahun ketika menuntut di sebuah kolej ketenteraan tahun 2005.
Sepanjang tempoh rawatan, Putera Khalid sering berkongsi gambar anakandanya di atas katil hospital dan pelbagai usaha perubatan intensif dijalankan sejak kemalangan.