Ulama pertahan kerajaan, pertikai tindakan desak PM letak jawatan
20 JUL : Kerajaan MADANI dibawah kepimpinanPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat diselamatkan.
Keyakinan itu disuarakan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.
Sokongan dizahirkan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan itu susulan desakan terhadap Anwar agar meletakkan jawatan.
Menurutnya, kekerapan bertukar kerajaan hanya akan menyebabkan ekonomi negara menjadi malap.
“Insya-ALLAH dengan kehadiran kita begini ramai, kita tunjuk sokongan kita, tidak berpecah belah (sebagai) sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar.
“Insya-ALLAH kita berada di belakangnya. Semua rintangan dan cabaran yang akan berlaku di negara dapat diselamatkan. Insya-ALLAH Malaysia dan kerajaan, kepimpinan DSAI dapat diselamatkan. Saya yakin.
“Kita di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan, dua tahun satu kerajaan, setahun satu kerajaan. Dasar berubah, pondok pun malap (dan) segala-gala malap, ekonomi malap. Ini bukan cara Islam,” katanya.
Dalam pada itu beliau mencadangkan setiap pemerintah diberi tempoh 10 tahun untuk mentadbir negara.
“Jadi cara Islam, pemerintah beri tempoh 10 tahun. Dalam Islam, satu pemerintah itu tidak ada tempoh baginya. Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali jadi kahlifah sampai mati.
“Sebab apa kita ini nak tukar-tukar (pemerintah)? Saya cadangkan pada Datuk Mufti tadi, biar satu kerajaan kekal 10 tahun, biar yang baik kita dapat menikmati daripada kerajaan berkenaan,” katanya.
Pembangkang merancang penganjuran Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai depan.
*Foto : Tangkap layar video Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM
*OLEH : HANUM RAJAK