Lebih RM48 bilion bagi 5 projek di 7 kementerian bukan ketirisan : Audit
22 JUL : Jabatan Audit Negara memaklumkan kos RM48.873 bilion program melibatkan tujuh kementerian yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 bukan ketirisan atau kerugian seperti dilaporkan beberapa portal media.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata angka itu merupakan nilai kos keseluruhan lima program, aktiviti atau projek yang diaudit Jabatan Audit Negara.
“Kenyataan sedemikian berpotensi mencetuskan kekeliruan serta persepsi negatif yang tidak berasas terhadap pengurusan kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, LKAN 2/2025 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi/Syarikat Kerajaan Persekutuan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Wan Suraya, laporan itu akan dibahaskan di Dewan Rakyat, esok.
Mengulas lanjut, Wan Suraya berkata sepanjang proses pengauditan, pihaknya mendapat sokongan jitu daripada semua jentera kerajaan termasuk Kabinet.
Katanya, kerjasama dan komitmen itu amat penting sebagai pemangkin kepada tadbir urus berintegriti dan menyokong agenda reformasi sektor awam ke arah pentadbiran yang cekap, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat.
“Skop pengauditan ini secara amnya mengambil kira prestasi program/projek/aktiviti yang telah dilaksanakan merangkumi pelbagai tahun ke belakang (isu-isu legasi) serta sebarang usaha atau inisiatif yang telah diperkenalkan kerajaan.
“Justeru, setiap penemuan yang dibentangkan dalam laporan ini disusuli dengan syor penambahbaikan yang konstruktif bagi membantu kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuhkan sistem dalaman dan pematuhan,” katanya.
Selain itu, Wan Suraya memaklumkan pihaknya berjaya membantu kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta bagi tempoh tahun 2024 hingga Jun 2025 antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai.
*FOTO : FACEBOOK JABATAN AUDIT NEGARA