22 JUL : Malaysia tetap berpendirian Iran berhak melawan serangan Israel meski tidak banyak negara lain yang berani menyatakan sokongan itu secara terbuka termasuk negara Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sokongan itu sudah dizahirkan langsung kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sebelum ini.
“Saya tekankan termasuk bicara dengan Presiden Iran, yang tak ramai termasuk negara-negara negara Islam yang berani bicara kerana kontroversi dan tekanan dihadapi Iran dari negara barat, termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Tapi kita terpaksa lakukan kerana Iran dizalimi dalam kes ini dan bagi kita Iran berhak serang balas terhadap kezaliman Israel.
“Jadi Israel satu satu negara pengganas dalam dunia nampak terus melakukan jenayah, genosid tanpa disekat dunia kerana didukung beberapa negara barat termasuk AS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Mohd Sany membangkitkan soal pendirian kerajaan terhadap sikap negara-negara besar khususnya Arab yang dilihat ‘berpeluk tubuh’ menyaksikan kekejaman Israel di Asia Barat.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan akui sedar risiko akibat terlalu lantang dalam isu tersebut lebih-lebih lagi ketika Malaysia masih dalam rundingan dengan AS berkait isu tarif.
Katanya, negara ini tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap kekejaman rejim itu meski ketika ini Malaysia masih dalam rundingan tersebut.
“Kita harap dapat diselesaikan dengan baik tetapi apa pun kesan, apa pun rungutan atau bantahan mereka, isu Palestin dan Gaza, hubungan dengan Iran tidak akan mengubah kita sebagai negara yang tegas,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.