22 JUL : Tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkait isu kedaulatan Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu diputuskannya dalam jemaah menteri memandangkan usia Dr Mahathir yang sudah mencecah 100 tahun.
Namun Anwar berkata, berpendirian Dr Mahathir tetap bersalah susulan keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
“Kita ambil keputusan kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri yang usianya 100 tahun.
“Apakah beliau tidak salah? Beliau salah. Apakah perlu ambil tindakan? Saya di jemaah menteri, saya bersetuju jangan ambil tindakan.
“Jika ambil tindakan, Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang akan jerit kata kita tidak adil tapi saya tanpa membabitkan soal ini kerana usianya sudah 100 tahun.
“Salah besar dalam hal ini tetapi kita tak payahlah teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkait keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan yang dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).
Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak mahu kes Pulau Batu Puteh itu berulang dalam tuntutan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia.
“Pulau Batu Puteh itu, penyerahannya terlalu mudah, yang sekarang ini diam oleh rakan-rakan saya sebelah sana (pembangkang)
“Ini soal maruah. Kalau Beluran rasa terkesan kerana isu Laut Sulawesi, begitu jugalah Malaysia seluruhnya dan orang-orang Johor dalam soal penyerahan Pulau Batu Puteh,” katanya.
Kerajaan menarik balik permohonan menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.
Perkara itu didedahkan melalui Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dinyahklasifikasi dan dikeluarkan pada Disember tahun lalu.
Menurut RCI, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.