23 JUL : Keputusan kerajaan mengumumkan beberapa langkah besar bagi menangani tekanan kos sara hidup bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya dengan mengambil kira secara teliti kedudukan kewangan negara dan kemampuan hasil semasa.
Penganalisis ekonomi dari Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ida Md Yasin berkata pendekatan tersebut juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyalurkan bantuan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.
Katanya, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan tanpa membebankan kewangan negara, langkah proaktif dalam memperkukuh sumber pendapatan turut diambil termasuk melalui peluasan skop percukaian terhadap sektor perkhidmatan bermula 1 Julai lalu.

“Mengimbangi keperluan memberi bantuan dengan memastikan kestabilan kewangan negara bukanlah tugas yang mudah…jika kerajaan mahu terus menyalurkan bantuan besar kepada rakyat, pendapatan negara juga perlu dipertingkat secara berterusan.
“Antara usaha ke arah itu termasuk memperluas skop percukaian, seperti yang telah diumumkan sebelum ini melibatkan sektor perkhidmatan.. ni merupakan langkah penting untuk memastikan bantuan dapat diteruskan tanpa membebankan kewangan negara,” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima ikhtiar segera dalam membantu rakyat menangani beban kos sara hidup termasuk pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa berumur 18 tahun.
Turut diumumkan, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, peruntukan RM600 juta bagi meluaskan program Jualan Rahmah, pengekalan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya utama serta mengisytiharkan cuti umum khas pada 15 September ini sempena Hari Malaysia.
Dalam pada itu, Ida menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan bantuan tunai, subsidi petrol serta peluasan Jualan Rahmah sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup rakyat ketika ini.
Pada masa sama, katanya inisiatif ini juga berpotensi merangsang ekonomi domestik melalui peningkatan perbelanjaan isi rumah.
“Sudah tentu kerajaan mengambil kira pelbagai aspek tentang bantuan tunai ini…ia merupakan satu langkah yang boleh merangsang ekonomi negara kerana rakyat akan menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan asas seperti makanan.
“Ia juga akan mengaktifkan semula ekonomi domestik apabila wang itu beredar dalam pasaran tempatan dan sampai kepada pengeluar barangan.
“Namun, bantuan ini bukanlah mencukupi untuk menampung keseluruhan perbelanjaan isi rumah…ia sekadar sokongan daripada kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup dan setiap isi rumah tetap perlu bekerja seperti biasa,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL