Jabatan ini merujuk kepada kenyataanTan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) berhubung larangan terhadap penyertaan pegawai awam dalam satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025.
Dalam hal ini, seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012]. Berdasarkan Surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan Kerajaan.
Berdasarkan P.U. (A) 1/2012 dan P.U. (A) 395/1993, seorang pegawai awam, antara lain, hendaklah
(a) pada setiap masa memberikan taat setianya kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, negara dan Kerajaan;
(b) tidak berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam; dan
(c) tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Kerajaan.
Sehubungan dengan itu, sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam di bawah P.U. (A) 395/1993.
Jabatan ini juga ingin menegaskan bahawa meskipun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak-hak tersebut adalah tidak bersifat mutlak.
Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh KSN kepada penjawat awam.
JABATAN PEGUAM NEGARA