23 JUL : Kawasan wilayah barat Indonesia dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi susulan kebakaran yang melanda Sumatera.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari berkata cuaca panas dan kering meningkatkan lagi risiko apabila kadar hujan kurang dengan ketara di sebahagian besar kawasan terlibat.
Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Sumatera Barat, Ilham Wahab berkata kebakaran hutan melanda di semua daerah di Solok.
Katanya, kawasan cerun yang terbakar menyukarkan lagi usaha pemadaman.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia dilaporkan berkata bilangan titik panas di Sumatera melonjak daripada 94 kepada lebih 1,000 dalam 10 hari pada bulan Julai.
BNPB memberi amaran mungkin terdapat lebih banyak titik panas jika keadaan kering berterusan.
Susulan kebakaran hutan di Indonesia itu, Malaysia, Singapura dan selatan Thailand menerima tempias asap yang menyebabkan jerebu.