USM, UUM tidak terlibat Himpunan Turun Anwar

23 JUL : Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) bertegas tidak akan terlibat secara rasmi dalam sebarang perhimpunan yang berunsur partisan termasuk ‘Himpunan Turun Anwar’.
Perkara itu disuarakan MPP tersebut susulan jemputan secara terbuka kepada mahasiswa terhadap himpunan yang dijadual Sabtu ini.
“MPP USM mengambil maklum mengenai jemputan terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi untuk menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025 di ibu negara.
“Pendekatan ini diambil bagi memastikan MPP USM kekal sebagai entiti yang bebas, neutral dan terbuka kepada seluruh warga mahasiswa tanpa memihak kepada mana-mana ideologi politik,” kata MPP USM dalam satu kenyataan.
Menurut MPP USM, sebagai badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa USM, pihaknya menghormati kepelbagaian pandangan dalam kalangan mahasiswa termasuk dalam soal kepimpinan dan dasar semasa negara.
“Kami menjunjung prinsip bahawa setiap mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara, sama ada menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak, asalkan ia dilakukan secara berhemah, aman dan mengikut saluran perundangan yang sah,” katanya.
Dalam masa yang sama, MPP USM turut memaklumkan institusi pengajian tinggi itu kini berada dalam tempoh peperiksaan akhir semester.
Justeru itu, MPP USM menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi USM agar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung.
Sementara MPP Universiti Utara Malaysia (UUM) pula menegaskan pihaknya konsisten dengan pendirian menjunjung agenda pembangunan negara dan memperkukuh suara mahasiswa melalui pendekatan inklusif dan progresif.
“Kami percaya bahawa membina sebuah negara tidak mengambil masa dua atau tiga tahun, tetapi untuk meruntuhkannya sehari pun sudah memadai.
“Justeru, langkah yang terburu-buru tanpa asas dan niat yang tulus bukan sahaja merencatkan proses pembaharuan, malah membuka ruang kepada ketidaktentuan yang membahayakan masa depan negara,” kata badan itu dalam kenyataan berasingan.
Dalam pada itu, MPP UUM menyeru seluruh mahasiswa agar menolak penyertaan dalam himpunan berkenaan dan tidak terpedaya dengan agenda dan kepentingan mana-mana pihak yang boleh merosakkan perpaduan nasional serta menjejaskan kestabilan politik negara.
“Mahasiswa adalah tunjang kepada masa depan negara, maka sewajarnya kita menjadi pencorak solusi, bukan pemarak konflik,” kata MPP UUM.
Pembangkang merancang untuk menganjurkan himpunan itu Sabtu ini.