24 JUL : Keputusan kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif utama bagi menangani tekanan kos sara hidup memberi kelegaan besar kepada rakyat khususnya golongan pertengahan (M40).
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali menyifatkan pendekatan kerajaan kali ini sebagai satu isyarat bahawa golongan M40 yang turut berdepan tekanan kos sara hidup diiktiraf meskipun tidak tergolong dalam kumpulan penerima bantuan seperti B40.

“Kerajaan memberi isyarat bahawa mereka mengiktiraf kewujudan kelompok M40 yang turut bergelut dengan tekanan ekonomi…golongan ini berada di tengah-tengah, tidak cukup miskin untuk menerima bantuan bersasar seperti B40 namun tetap terhimpit dek kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Langkah bantuan menyeluruh yang diperkenalkan kali ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih inklusif dan komprehensif apabila bantuan diagihkan kepada semua rakyat tanpa mengira tahap pendapatan,”katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan lima ikhtiar segera dalam membantu rakyat menangani beban kos sara hidup termasuk pemberian SARA sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa berumur 18 tahun.
Turut diumumkan, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, peruntukan RM600 juta bagi meluaskan program Jualan Rahmah, pengekalan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya utama serta mengisytiharkan cuti umum khas pada 15 September ini sempena Hari Malaysia.
Dalam pada itu, Nuradli berkata bantuan tunai yang dikreditkan secara automatik melalui MyKad bermula 31 Ogos ini dapat menambah ruang perbelanjaan harian rakyat dewasa termasuk golongan M40 yang selama ini jarang menerima manfaat langsung.
Selain itu, katanya penurunan harga petrol RON95 juga memberi kelegaan kepada isi rumah M40 memandangkan golongan itu lebih banyak bergantung kepada kenderaan persendirian dalam rutin harian berbanding golongan B40.
“Golongan M40 juga akan merasai manfaat bantuan ini walaupun jumlahnya kecil kerana ia tetap memberi kesan dalam mengimbangi perbelanjaan bulanan.
“Selain itu, apabila harga bahan api dan tenaga diturunkan, diharapkan harga barangan kekal stabil kerana tidak wajar peniaga menaikkan harga walaupun kos sudah menurun,” katanya.
Namun katanya, meski inisiatif tersebut memberi manfaat, pendekatan jangka panjang yang lebih menyeluruh dan berstruktur perlu dirangka bagi menangani cabaran sebenar yang dihadapi oleh golongan M40.
Selain itu, katanya keputusan untuk meneruskan bantuan secara menyeluruh juga perlu ditimbang berdasarkan kekuatan fiskal negara yang masih berada dalam kedudukan defisit.
“Pendekatan ini hanya wajar diteruskan sekiranya disertai dengan pelaksanaan bantuan bersasar dan fokus kepada barangan keperluan asas bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan kemampuan kerajaan mengurus perbelanjaan.
“Sekiranya kerajaan mahu terus memberikan bantuan kepada semua, pendapatan negara perlu mencukupi kerana jika tidak, ia boleh menjejaskan kedudukan fiskal memandangkan negara masih berada dalam keadaan defisit… justeru, kerajaan perlu berhati-hati agar perbelanjaan tidak melebihi kemampuan.”
“Namun, buat masa ini inflasi negara pada bulan Julai berada pada kadar 1.1 peratus dan peningkatannya juga perlahan…ia menandakan keadaan ekonomi masih terkawal dan tidak membimbangkan,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL