24 JUL : Laporan yang mendakwa ahli perniagaan diburu Low Taek Jho atau Jho Low kini berada di China dengan menggunakan pasport Australia palsu kekal sebagai dakwaan.
Ia susulan tiada sebarang bukti atau fakta sokongan terhadap keberadaannya dan pasport digunakan, setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Namun katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi penguat kuasa antarabangsa.
“Berhubung laporan tertentu yang mengaitkan lokasi serta penggunaan pasport individu itu, saya tegaskan bahawa perkara berkenaan belum disokong dengan apa-apa bukti sah sehingga kini.
“Jadi ia kekal sebagai dakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa mendedahkan Jho Low menjalani kehidupan mewah di kawasan eksklusif Green Hills.
Pendedahan itu dibuat dalam program bertajuk ‘Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright’ menerusi saluran YouTube.