25 JUL : Malaysia memerlukan Kerangka Pengawalseliaan Data Komunikasi untuk tujuan siasatan demi keselamatan dan membina keseragaman dan melindungi privasi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata melalui kerangka yang dicadangkan itu, penyedia perkhidmatan komunikasi wajib menyimpan jenis data komunikasi tertentu (metadata bukan kandungan) dan memelihara data penting atas permintaan siasatan.
Kata MCMC, ia juga akan mewajibkan pihak berkenaan menyediakan data kepada pihak berkuasa yang sah apabila diperlukan.
Menurut suruhanjaya itu, data komunikasi sering menjadi ‘missing puzzle piece’ dalam kes jenayah siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan kegiatan keganasan.
“Dengan kerangka ini, pihak berkuasa boleh bertindak lebih pantas dan tepat sebelum lebih ramai menjadi mangsa,” kata MCMC.
Selain itu, amalan penyimpanan data berbeza-beza antara syarikat tanpa garis panduan yang seragam menyukarkan siasatan dan boleh menggagalkan usaha membawa pelaku ke muka pengadilan.
Justeru itu, melalui kerangka ini amalan tersebut boleh diselaras dan menutup lompong sistemik.
Pada masa sama, kerangka ini juga katanya penting untuk melindungi privasi rakyat.
“Ini bukan tentang mengintip, tetapi tentang melindungi. Setiap akses data hanya dibenarkan untuk kes siasatan, dan tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang termasuk PDPA 2010. Hak privasi rakyat tetap dijamin,” kata MCMC.
MCMC memaklumkan kerangka dicadangkan itu terpakai kepada penyedia perkhidmatan, vendor teknologi dan operator platform komunikasi serta semua entiti yang kendalikan data komunikasi dalam rantaian perkhidmatan.