25 JUL : Kementerian Kesihatan (KKM) diarah mempermudah proses pengisian lebih 4,000 perjawatan doktor kerajaan.
Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
“Perdana Menteri membangkitkan isu pengisian 4,000 perjawatan doktor yang belum lagi diisi dan beliau sampaikan hari ini kepada anggota jemaah menteri khususnya Menteri Kesihatan.
“Perdana Menteri meminta supaya proses birokrasi yang mungkin dilihat sebagai melewatkan ini dipercepat,” katanya.
Kelmarin, Anwar mengumumkan kerajaan menambah bilangan jawatan doktor dan pegawai perubatan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.
Menurutnya, KKM akan menyegerakan usaha mengisi lebih 4,000 perjawatan di fasiliti kesihatan seluruh negara menjelang hujung tahun 2025.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Anwar menyifatkan tarikh jangkaan KKM untuk mengisi semua jawatan terbabit menjelang November nanti terlalu lama.
Kata Fahmi, Anwar mahu urusan itu dipercepat .
“Jika ikutkan Perdana Menteri, kalau boleh semalam dah siap tetapi ada sedikit proses, cuma Perdana Menteri minta memandangkan ada keperluan yang mendesak untuk mengisi 4,000 kekosongan, bukan satu jumlah yang kecil, maka perlu dipercepat.
“Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) sudah memberikan komitmen bahawa proses ini akan diringkaskan tanpa menjejaskan dari segi prosedurnya dan akan dipercepat,” katanya.