Thailand-Kemboja setuju undur tentera dari sempadan : Anwar
25 JUL : Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mengundurkan tentera masing-masing dari kawasan sempadan yang memicu ketegangan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu dicapai dalam perbualan antara beliau dengan dua pemimpin negara itu.
Namun katanya, kedua-dua pemimpin, pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet meminta masa sebelum ia dapat dilaksanakan,
“Semalam, saya dapat bicara bersama pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja kerana kedudukan Malaysia dan hormat mereka kepada kita.
“Saya beri pandangan dan kata ‘Please Mister Prime Minister, on behalf your friend in Malaysia, please stop and immediate cease power‘,
“Mereka setuju tapi ada meminta masa sebab dia kata tentera sudah ada di sempadan, maka mereka harus ada waktu sedikit untuk menggerakkan tentera keluar,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Jitra, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan rasa syukur terhadap keputusan yang dicapai melalui panggilan telefon tersebut.
“Ini saya syukur kerana apabila saya bicara bersama mereka, keduanya sambut baik dengan hormat. Sebab apa? Sebab Malaysia negara aman dan stabil,” katanya.

Ketegangan di sempadan antara Thailand dan Kemboja berlarutan sejak Mei lalu .
Pertikaian Thailand-Kemboja berpunca daripada proses penentuan sempadan sepanjang 800 kilometer (500 batu) yang kebanyakannya dilakukan ketika penjajahan Perancis ke atas Indochina.
Pada 28 Mei lalu, tentera Thailand dan Kemboja saling berbalas tembakan di kawasan Segitiga Zamrud iaitu titik pertemuan sempadan Kemboja, Thailand dan Laos hingga menyebabkan seorang askar Kemboja terbunuh.
Terbaharu, tentera Thailand mendakwa sembilan orang awam terbunuh sementara 14 lagi cedera dalam serangan artileri yang didakwa dilakukan tentera Kemboja pagi tadi.
Namun Kemboja menafikan dakwaan berkenaan menegaskan pasukan mereka hanya bertindak balas selepas diserang terlebih dahulu tentera Thailand.
Insiden berlaku selepas Thailand mengerahkan jet pejuang F-16 menyerang wilayah Kemboja menjadikan konflik itu kini memasuki fasa paling tegang sejak 2011.