28 JUL : Pengharaman sepenuhnya terhadap rokok elektronik atau vape sedang diusahakan bagi mengekang kesan penggunannya terhadap rakyat negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pengharaman itu perlu dilaksanakan dengan teliti yang meliputi pelbagai aspek termasuk perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.
Menurutnya, keberkesanan langkah kawalan sedia ada dan keperluan dasar lebih komprehensif turut diteliti.
“Bagi mencapai kawalan yang lebih menyeluruh khasnya dalam agenda pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape, ia masih lagi di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Seiring dengan itu, KKM sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu ini secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) mengenai pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dan vape negeri masing-masing.
Dr Dzulkefly turut menyambut baik langkah enam negeri yang setakat ini sudah memutuskan untuk tidak membenarkan penjualan vape iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata keutamaan kini diberi kepada pendekatan kawal selia yang ketat terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“(Ia) merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan terhadap penjualan serta larangan merokok di tempat kawasan larangan merokok,” katanya.
Menurutnya, KKM kini sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu, ‘Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang bakal dilancar 1 Ogos ini.