29 JUL : Penyedia perkhidmatan media sosial dari pelbagai platform sudah menurunkan 1,443 kandungan jelik dan melampau melibatkan kanak-kanak sejak 1 Januri 2022 hingga 15 Julai lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kandungan tersebut melanggar garis panduan komuniti platform berkenaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, pelbagai libat urus dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan penyedia platform seperti YouTube dan TikTok.
Katanya, ia bagi memastikan algoritma lebih telus yang selaras dengan peraturan tempatan.
“Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan berunsur negatif atau memudaratkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Bernama.
Fahmi berkata demikian menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkait kawal selia yang sudah dan akan dilaksanakan bagi memastikan algoritma penyedia platform seperti YouTube dihalang daripada terus menyuburkan konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti brain rot daripada terus muncul kepada pengguna khususnya remaja dan kanak-kanak.
Pada sesi sama, Fahmi turut memaklumkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang layak sudah diwajibkan memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi bermula 1 Januari lalu.
Menurutnya, inisiatif itu sebagai langkah kawal selia kandungan dan pengurusan algoritma yang lebih bertanggungjawab terhadap penyedia yang memenuhi syarat.
Selain itu, kata Fahmi Kod Tatalaku yang diterbitkan MCMC juga mewajibkan verifikasi umur, kawalan ibu bapa yang efektif, fungsi keselamatan untuk kanak-kanak dan audit kandungan secara berkala.
Sementara itu katanya, Fahmi berkata Kempen Internet Selamat yang dilancarkan awal tahun ini juga giat dilaksanakan di sekolah dan institusi pengajian tinggi dengan lebih 60,000 pelajar terlibat setakat ini.
“Buat masa ini, kempen ini akan dilaksanakan di 10,000 sekolah, institusi pengajian tinggi serta Institut Pendidikan Guru melalui beberapa inisiatif libat urus dan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti awam seluruh negara,” katanya.