AS puji peranan Anwar, Malaysia selesai konflik Thailand-Kemboja

29 JUL : Pentadbiran Donald Trump memuji Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memainkan peranan penting dalam menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata kesepakatan yang membawa kepada gencatan senjata di dua negara ASEAN itu.
“Presiden Donald Trump dan saya komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan, dan menjangkakan agar kedua-dua negara menunaikan komitmen mereka untuk menamatkan konflik ini.
“Kami amat menghargai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kesediaan beliau menjadi tuan rumah bagi rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Menurut Rubio, Washington komited menyokong proses damai berkenaan dan akan terus terlibat secara aktif bersama Malaysia dalam inisiatif tersebut.
“Kami menggesa semua pihak yang terlibat agar mematuhi sepenuhnya segala persefahaman yang sudah dicapai,” katanya.
Semalam, Malaysia mempengerusikan mesyuarat khas bagi menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Turut hadir Duta AS ke Malaysia, Edgard Kagan yang bertindak sebagai penganjur bersama dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Keputusan gencatan senjata serta-merta itu diumumkan Anwar pada sidang media selepas mesyuarat itu semalam dan memaklumkan kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.
Selain itu, Kemboja dan Thailand turut menzahirkan penghargaan terhadap ketegasan dan peranan Malaysia dalam menjadi perantara hingga pendekatan damai berkenaan dicapai.