Malaysia tidak pilih jalan selesa : PM Anwar

29 JUL : Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, Malaysia tidak akan memilih jalan selesa dan sekadar reaktif.
Penegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini selepas menghadiri Perundingan Tahunan Ke-13, Malaysia dan Indonesia di Jakarta, hari ini.
Menurutnya, Malaysia memimpin dengan agenda yang jelas, membina dengan nilai dan bergerak atas kekuatan prinsip.
“Hubungan Malaysia-Indonesia hari ini akan terpatri sebagai wahana ampuh kepada kebangkitan serantau yang jitu dan bermaruah,” katanya.
Mengulas soal perbincangan itu, Anwar berkata Malaysia dan Indonesia sudah membuktikan bahawa nilai dan warisan sejarah, keakraban budaya dan kepemimpinan yang teguh berprinsip dapat menjadi tiang seri kerjasama dua hala yang kukuh.
“Hari ini saya bersama PresidenPrabowo Subianto telah menoktahkan satu lagi lembaran penting dalam hubungan strategik antara dua bangsa serumpun.
“Pelbagai isu telah dirungkai secara tegas, berani dan berhemat. Daripada penyelesaian mengenai sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu, hingga pemeteraian pelaburan rentas sempadan di sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan keterjaminan makanan yang membawa maksud bahawa ia bukan sekadar proses diplomatik biasa tetapi satu iltizam kenegaraan yang berpasak pada pragmatisme,” katanya.
Menurutnya lagi, beliau dan Prabowo sepakat bahawa penyelesaian sempadan adalah lambang kedaulatan dan keyakinan bersama.
“Kita teguh dalam komitmen untuk mengangkat dan membela nasib nelayan, pekerja migran, komuniti sempadan dengan kebijakan yang berpihak pada maruah dan kemanusiaan.
“Justeru, ICQS Serikin akan menjadi pemangkin baharu kepada kesejahteraan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan,” katanya.
Katanya lagi, rundingan tersebut turut memungkinkan kerjasama masa depan yang lebih mendalam dalam bidang kesihatan, pendidikan tinggi, industri halal, serta pendigitalan.
“Walhasil, ia pastinya akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua negara, selain merintis hala tuju masa depan ASEAN yang lebih bersatu dan bersedia mendepani cabaran global dari Myanmar hingga Gaza.
“Dalam kerangka ASEAN, Malaysia akan terus memainkan peranan yang proaktif dalam mendepani konflik serantau dengan ketegasan dan hikmah, seperti yang terjelma dalam Mesyuarat Khas Kemboja-Thailand di Kuala Lumpur semalam.
“Dunia tentunya memerhati, dan Malaysia tidak akan berganjak dari prinsip keadilan, keamanan dan budaya wacana yang sihat,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK