29 JUL : PKR menuntut Ahli Parlimen PAS, Ahmad Fadhli Shaari membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja berikutan kenyataan memperlekeh jalan damai yang dicapai kedua negara itu.
Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim bertegas Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain apatah lagi negara jiran.
“Pastinya kita juga tidak bersetuju sekiranya negara tercinta ini dihambur kenyataan biadab yang serupa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS dikecam sosial selepas memuat naik gambaran tiga watak haiwan iaitu kambing dan biri-biri yang di tengah-tengahnya seekor monyet dan sebiji pisang.
Beliau menulis keterangan ‘kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes perebutan pisang’.
Selain itu, Ahmad Fadhli turut menyelit artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan namun hantaran itu sudah dipadam selepas menerima kecaman sejak dimuat naik beberapa hari lalu.

Menurut Muhammad Kamil, usaha Malaysia yang membantu menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja hingga mencapai gencatan senjata serta-merta semalam diiktiraf negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) namun diperlekeh pembangkang di tanah air sendiri.
“Tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai peneraju dan arkitek keamanan serantau apabila dua negara jiran kita, Thailand dan Kemboja, akhirnya bersetuju menggerakkan gencatan senjata. Namun, masih ada segelintir yang memilih untuk memperlekeh dan mempertikai usaha murni ini.
“Ironinya, yang memperlekeh bukan orang luar. Tetapi pembangkang di tanah air sendiri yang nampaknya lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha Malaysia itu bukan soal parti atau politik individu sebaliknya ia soal maruah negara.
“Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini. Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis.
“Mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai,” katanya.
Selain itu, Muhammad Kamil menyifatkan pembangkang memilih untuk menyemai kebencian ketika negara di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI berdiri megah menegak serta melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memain peranan aktif menyelesaikan pertelagahan. “
Beginilah politik sempit yang kita tolak. Kita tidak boleh benarkan suara-suara sumbang ini terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara.
“Tuntutan Islam yang sepatutnya meraikan pendamaian, disanggah dengan kebencian politik yang membuak. Ini jauh menyimpang dari ajaran dan tuntutan Islam.
“Tapi akan terus maju. Malaysia akan terus melangkah. Kita akan terus menjulang nama Malaysia dengan diplomasi, bukan dengan retorik kosong. Kita percaya pada penyelesaian yang berasaskan kemanusiaan, bukan kebencian,” katanya.
Semalam, Malaysia mempengerusikan mesyuarat khas bagi menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Turut hadir Duta AS ke Malaysia, Edgard Kagan yang bertindak sebagai penganjur bersama dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Keputusan gencatan senjata serta-merta itu diumumkan Anwar pada sidang media selepas mesyuarat itu semalam dan memaklumkan kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.
Selain itu, Kemboja dan Thailand turut menzahirkan penghargaan terhadap ketegasan dan peranan Malaysia dalam menjadi perantara hingga pendekatan damai berkenaan dicapai.
*OLEH : HANUM RAJAK