Thailand-Kemboja: Jerman, Perancis, EC puji peranan Malaysia

29 JUL : Peranan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu Kemboja dan Thailand mencapai damai mendapat perhatian Jerman, Perancis dan Suruhanjaya Eropah (EC).
Canselor Jerman, Friedrich Merz menyampaikan penghargaan itu kepada Anwar melalui panggilan telefon, semalam.
“Saya menghargai ucapan penghargaan beliau terhadap peranan aktif Malaysia sebagai pemudah cara dalam usaha penyelesaian konflik antara Thailand dan Kemboja, satu pengiktirafan terhadap keupayaan diplomasi serantau dan komitmen Malaysia dalam mendukung keamanan dan kestabilan ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan serantau melalui pendekatan diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan.
“Kerjasama erat dengan rakan antarabangsa seperti Jerman amat penting dalam memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip,” kata Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelumnya, Jurucakap Kerajaan Jerman, Stefan Kornelius memaklumkan Friedrich Merz telah menyampaikan penghargaan kepada Anwar menerusi panggilan telefon pada Isnin.
“Tugas sekarang adalah untuk terus meredakan ketegangan,” kata Merz sambil menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini.
Pada masa sama, Merz turut menegaskan Malaysia merupakan rakan penting bagi Jerman di rantau ini, baik secara dua hala mahu pun melalui ASEAN dan kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh hubungan ekonomi.
Semalam, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai sebelum gencatan senjata serta-merta tanpa syarat dicapai.
Selain itu, Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur turut memuji peranan Malaysia sebagai tuan rumah rundingan dan mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata itu.
“Perancis menyambut baik pengumuman gencatan senjata yang berkuat kuasa pada malam Isnin serta penyambungan semula dialog di antara Kemboja dan Thailand susulan pertemuan antara Perdana Menteri kedua-dua negara yang berlangsung di Malaysia pada 28 Julai.
“Perancis mengulangi kesediaannya untuk menyumbang kepada usaha antarabangsa, khususnya yang diketuai oleh ASEAN,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan.

Sementara Naib Presiden EC, Kaja Kallas berkata perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand merupakan satu kejayaan besar selepas beberapa hari pertempuran yang meragut nyawa.
“Adalah penting kedua-dua negara melaksanakan perjanjian ini dengan niat yang ikhlas.
“Saya berterima kasih kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN kerana membantu memudahkan proses rundingan,” katanya melalui satu hantaran di X, lewat malam tadi.