Jadi perantara konflik demi kembalikan keamanan rantau

30 JUL : Niat Malaysia menjadi perantara dalam konflik Thailand-Kemboja amat jelas iaitu bagi memastikan keamanan dikembalikan ke rantau ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata peranan itu perlu dimainkan lebih-lebih lagi ketika Malaysia mengemudi Kepengerusian ASEAN 2025.
“Saya percaya niat kita jelas untuk memastikan ketenteraman dan keamanan dapat dikembalikan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam mengemudi dan mencari titik pertemuan dalam kepelbagaian dan kerencaman di Asia Tenggara serta kita berjaya dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, hari ini.
Pada Isnin, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Keputusan gencatan senjata itu kemudiannya diumumkan pada sidang media yang disambut baik negara lain malah Anwar dipuji atas peranan dimainkannya dalam mencapai jalan damai melalui meja rundingan.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Malaysia kini menjadi tumpuan susulan kejayaan meredakan konflik yang melanda dua negara ASEAN itu.
“Namun, kita menyaksikan kejayaan besar apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan mengumumkan gencatan senjata secara bersama,” katanya.

Namun katanya, keadaan sebenar di lapangan masih bersifat dinamik.
Kata Fahmi, semalam, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi diplomatik ke Thailand dan Kemboja bagi berunding dengan kepimpinan ketenteraan dalam memastikan pelaksanaan gencatan senjata itu dapat dilaksanakan sebaiknya.