KENYATAAN MEDIA
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini telah menyantuni Kampung Sungai Relai di Gua Musang untuk mendengar keluhan penduduk yang terkesan akibat masalah liputan komunikasi kurang memuaskan di sana.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, terdapat sebuah menara komunikasi setinggi 76 meter yang dibina di kawasan berkenaan. Namun menara tersebut hanya menempatkan peralatan gelombang mikro untuk menghubungkan dua menara yang berada di lokasi berlainan dan tidak menyediakan liputan rangkaian kepada pengguna di sekitar.
Bagi menilai tahap kualiti perkhidmatan selular di kawasan berkenaan, satu ujian turut dilaksanakan. Hasil ujian mengesahkan tiada liputan di kawasan tersebut.
Oleh itu, MCMC telah mengenal pasti beberapa langkah bagi menangani masalah liputan komunikasi kurang memuaskan di kawasan tersebut.
Antaranya, Notis Suruhanjaya di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dikeluarkan kepada semua penyedia perkhidmatan yang telah gagal mematuhi piawaian ditetapkan untuk penyediaan liputan di kawasan ini.
Selain itu, MCMC juga telah mengenal pasti tapak cadangan menara baharu yang akan memberikan liputan lebih menyeluruh kepada penduduk setempat melalui pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan datang.
MCMC turut berbincang dengan penyedia perkhidmatan untuk beri pertimbangan agar menara sedia ada di kawasan tersebut dinaik taraf kepada liputan 4G menggunakan sambungan gentian optik yang lebih stabil.
MCMC akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek ini dan komited untuk memastikan penduduk di Kampung Sungai Relai mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC