30 JUL : Kerajaan mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 4 sen seliter bagi tempoh 31 Julai 2025 hingga 6 Ogos 2025.
Kementerian Kewangan memaklumkan keputusan itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 4 sen kepada RM3.17 seliter bagi tempoh 31 Julai 2025 hingga 6 Ogos 2025.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan itu.
Sementara itu, kerajaan mengekalkan harga bagi RON95 dan diesel termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter.
“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada paras RM2.91 seliter.
“Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter,” menurut kenyataan itu lagi.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Dalam pada itu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.