Konflik Thai-Kemboja: Trump zahir penghargaan ke atas Malaysia

31 JUL : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranan penting yang dimainkan sebagai pemudahcara dalam menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan secara langsung oleh Trump kepadanya, pagi tadi.
“Saya ingin maklumkan pada jam 6.50 pagi tadi, saya berpeluang bercakap dengan Presiden AS, Donald Trump. Beliau mulakan dengan penghargaan setinggi-tingginya kepada Malaysia kerana telah memainkan peranan yang berkesan dan sebaiknya dalam menyelesaikan konflik Thailand dan Kemboja.
“Dalam respons saya menyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan ini kerana sikap positif kedua-dua negara dan juga kerana kerjasama ditunjukkan AS khususnya, Presiden Trump dan Presiden China, Xi Jin Ping,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memulakan pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Isnin, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi menoktahkan konflik antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya yang dihadiri Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Keduanya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat yang disambut baik negara lain malah Anwar dipuji atas peranan dimainkannya dalam mencapai jalan damai melalui meja rundingan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau dan Trump turut berbincang soal tarif import dikenakan ke atas Malaysia.
Dalam pada itu, Anwar mengajak rakyat Malaysia berdoa agar tarif yang bakal diumumkan esok tidak membebankan negara.
“Selain itu, kami turut membincangkan soal tarif. Atas semangat dan prinsip perdagangan bebas juga mengenai pelbagai siri rundingan yang digerakkan MITI bersama pihak United States Trade
Representative dan juga Setiausaha Perdagangan.
“Setelah perbincangan itu berlaku dan beberapa penjelasan yang saya sampaikan beliau (Trump) membuat keputusan untuk menangguh pengumuman kepada keesokannya dan kadar tarif akan diumumkan esok dan kita berdoa ia akan membantu dan tidak akan membebankan negara kita.
“Baik itu, kita tunggu sahaja esok, yang penting kewaspadaan kita kerana kemungkinan harga barangan dan kos mungkin meningkat sekiranya tarif itu tidak seperti mana yang kita jangka. Yang penting seperti mana saya sebut, ketahanan yang harus kita bina,” katanya.
Anwar turut mengumumkan Trump mengesahkan
kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara pada Oktober kelak.
Terdahulu, Anwar menyebut Malaysia perlu lebih waspada susulan ketegasan negara dalam menyuarakan isu Gaza.
“Dunia hari ini kian bergolak dengan konflik yang berpanjangan. Ketegasan Malaysia dalam menyuarakan isu-isu Gaza, memerlukan kita untuk lebih waspada, perang tarif terus meningkat.
“Kita sedang menunggu langkah timbal balas dengan negara lain yang telah megubah ketara landskap ekonomi dunia,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK