31 JUL : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menzahirkan penghargaan atas tumpuan pemerkasaan sektor keselamatan dan pertahanan yang diberikan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan sebanyak RM51 bilion untuk sektor keselamatan merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara.
“Dalam dunia yang kian mencabar dengan ancaman rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, pemerdagangan manusia dan risiko ekstremisme, keperluan untuk memperkukuh keupayaan operasi, logistik dan teknologi agensi-agensi keselamatan kita amatlah penting.
“Maka, inisiatif untuk memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan memperkasa penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) adalah tepat pada waktunya.
“Pendekatan ini akan membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan lebih efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan isu-isu keselamatan serantau seperti di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menghargai keseriusan kerajaan terhadap kebajikan warga kerja sektor keselamatan.
“Lebih penting, saya ingin menzahirkan penghargaan atas penekanan serius Kerajaan terhadap kebajikan warga kerja keselamatan, khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain yang berkhidmat di barisan hadapan.
“Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu PDRM dan 3,088 unit kuarters ATM yang telah siap, ditambah 8,501 unit lagi yang sedang dibina, serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang telah dibaik pulih merupakan langkah yang sangat bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing.
“Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan kita untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi, sekiranya keperluan asas mereka – tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang kondusif, serta jaminan sosial – diabaikan.
“Maka, usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan dan sokongan kepada warga keselamatan adalah amat dialu-alukan dan wajar diberi pujian,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau percaya kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui senjata dan bilangan anggota keselamatan semata-mata tetapi melalui keupayaan menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh dari latihan, logistik, teknologi hingga ke aspek kebajikan.
“KDN akan terus mendukung sepenuhnya pelaksanaan RMK13 dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan inisiatif-inisiatif di bawah sektor keselamatan dalam negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kami komited untuk terus memperkukuh keselamatan dalam negeri, memelihara kedaulatan undang-undang dan menjamin keamanan hidup rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya.