2 OGOS : Kerajaan menepis dakwaan kononnya pembelian pesawat Boeing yang diumumkan sebelum ini akan menggunakan wang rakyat.
Senaliknya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan pembelian itu akan dibiayai Malaysia Aviation Group (MAG).
Beliau turut menekankan bahawa pembelian pesawat itu bukan semata-mata untuk mengurangkan tarif.
“Beli pesawat Boeing ni membazir duit cukai rakyat? Pembelian pesawat ini sebenarnya adalah keputusan perniagaan strategik oleh MAG dan dibiayai menggunakan dana syarikat, bukan duit cukai rakyat!
“Rancangan pembelian ini telah diumumkan seawal MAC 2025 lagi, masa tu Presiden (Donald) Trump belum umumkan tarif lagi! Tak percaya? Boleh tengok headline yang saya kongsi,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan Malaysia akan membeli 30 lagi pesawat Boeing dari Amerika Syarikat (AS) dengan nilai $AS9.5 bilion dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan.
Katanya, pembelian itu merupakan sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan dengan AS berkait tarif import.
Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan MAG membuat tempahan 30 pesawat Boeing 737 dari AS.
Sementara itu, Tengku Zafrul dalam kenyataan sama menjelaskan soal kaitan antara pembelian pesawat tersebut dengan rundingan tarif AS.
“Apabila AS mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan. Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke AS berbanding membeli barang dari AS, jadi AS cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi 25%.
“Kita ambil peluang ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing ini. Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu menunjukkan kepada Washington bahawa Malaysia juga pembeli besar produk AS yang akhirnya dapat meyakinkan pentadbiran Trump untuk menurunkan tarif eksport dari 25% kepada 19%.
Tambahnya, strategi bijak itu merupakan hasil perundingan yang teliti dalam memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara.

*OLEH : HANUM RAJAK