2 OGOS : Penurunan kadar tarif import Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus disifatkan sebagai perkembangan yang positif dalam hubungan perdagangan dua hala.
Pakar Ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai berkata ia juga membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk meningkatkan daya saing eksport terutamanya dalam sektor elektronik dan pembuatan yang menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, perubahan dasar itu juga memberi isyarat positif kepada pasaran global bahawa Malaysia kekal kompetitif dan berpotensi muncul sebagai hab pelaburan yang stabil di rantau Asia Tenggara.
“Di peringkat Asia, Malaysia masih dilihat mampu menarik perhatian pelabur asing memandangkan kadar tarif semasa adalah setanding dengan Indonesia dan lebih rendah berbanding Vietnam iaitu 20 peratus.
“Walaupun Vietnam muncul sebagai pesaing baharu yang aktif menarik pelaburan luar, kadar tarif yang lebih tinggi di negara itu meletakkan Malaysia dalam posisi yang lebih baik…ia sekali gus membuka peluang untuk menarik semula pelabur asing terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik yang sebelum ini memilih Vietnam sebagai destinasi,” katanya kepada BBCPORTAL.

Terdahulu, White House dalam kenyataan rasmi memaklumkan kadar tarif baharu itu selepas Presiden AS, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata kelebihan Malaysia bukan sekada bergantung pada kadar tarif namun ia turut disokong asas industri kukuh khususnya dalam sektor elektronik dan semikonduktor yang dibina sejak sekian lama.
Selain itu, beliau mengingatkan pengurangan tarif sahaja belum mencukupi untuk memberi kelebihan menyeluruh memandangkan beberapa negara pesaing luar ASEAN seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman menikmati kadar tarif yang lebih rendah sekitar 15 peratus.
“Malaysia sudah mengumpul lebih 60 tahun pengalaman dalam industri elektronik…ini merupakan satu nilai tambah besar yang tidak dimiliki semua negara ASEAN.
“Namun jika kita bandingkan dengan Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Eropah termasuk Jerman, mereka masih mempunyai kelebihan dari sudut harga…oleh itu, kita perlu memastikan margin keuntungan syarikat tempatan mencukupi untuk menyerap kos tarif sedia ada,” katanya.
Justeru itu, Barjoyai berkata struktur kos dan margin keuntungan syarikat memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada pengurangan tarif itu benar-benar memberi kesan positif kepada eksport.
“Jika pembeli di Amerika menolak bayaran tambahan itu, syarikat kita yang akan menanggung kos tarif tersebut…ini boleh mengurangkan keuntungan dan menjejaskan daya saing produk kita di pasaran AS.
“Penurunan tarif ini memberi ruang penting untuk Malaysia meningkatkan daya saing, tetapi ia mesti disusuli dengan langkah susulan yang menyokong pertumbuhan eksport dan pelaburan secara berterusan,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL