4 OGOS : Statistik penggunaan kemudahan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) mencecah 102.6 juta transaksi pada separuh pertama tahun 2025 yang bernilai RM9.3 bilion.
Angka itu menunjukkan peningkatan 3.1 peratus daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua tahun 2024.
Namun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penggunaan BNPL di negara ini masih terkawal.
Dalam pada itu katanya, kerajaan sedang mempertingkatkan langkah pengawalseliaan bagi melindungi pengguna melalui Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025.
Menurutnya, jumlah pinjaman BNPL setakat 30 Jun lalu sebanyak RM3.8 bilion iaitu 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.
“Jumlah BNPL buat masa sekarang yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu RM121.8 juta atau 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL.
“BNPL ini masih terkawal, dan dengan akta ini (AKP 2025) kita akan tingkatkan lagi pengawalan terhadap sektor ini.
“Jadi pada saya, buat masa ini, kita ada cukup pengawasan terhadap sistem BNPL,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang membangkitkan sama ada kerajaan bersedia mengklasifikasikan sebahagian skim BNPL sebagai risiko kredit bagi sosial dan mengehadkan penggunaan ke atas produk tertentu seperti makanan asas atau keperluan isi rumah demi mengelakkan kesan hutang berganda.
Selain itu, Young Syefura Othman (PH-Bentong) bertanya sama ada SKP bercadang untuk mengenakan had kadar faedah dan langkah kementerian dalam memastikan penyedia BNPL patuh syariah.
Amir Hamzah berkata Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bertanggungjawab untuk mengawal selia perkembangan tersebut.
Katanya, kini SKP sedang mengkaji had kadar faedah yang dikenakan kepada pengguna kredit serta mengambil kira mekanisme patuh syariah.
“Dalam hal ini, SKP akan mengambil pendekatan pengawalseliaan melalui standard pelakuan yang akan dirangka secara seimbang dan bersekadar,” katanya.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata syarikat penyedia BNPL juga perlu menilai kemampuan berhutang.
“Perkara ini perlu agar peminjam termasuk generasi muda mampu membayar balik wang yang dipinjam tanpa mengalami sebarang tekanan kewangan yang serius dan akhirnya terjerumus dalam perangkap hutang,” katanya.