PRN Sabah : Jentera PKR perlu sampaikan penjelasan berfakta

4 OGOS : Jentera PKR diingatkan untuk menyampaikan penjelasan berfakta kepada rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR menyampaikan amanat itu kepada pimpinan, ahli dan jentera PKR Sabah pada Ahad.
Amanat itu katanya, untuk memperkukuh kesatuan, kekuatan dan kesiapsiagaan menjelang PRN yang akan datang.
“Tanggungjawab kita adalah menyampaikan penjelasan berfakta kepada rakyat, melawan fitnah dengan hujah serta membawa suara dan aspirasi rakyat Sabah dengan penuh amanah dan keikhlasan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tegas Anwar, PKR mesti kekal sebagai parti yang tersusun dan kuat.
“Pemilihan telah selesai, maka kini masanya untuk kita bersama-sama menyatukan tenaga dan memperkemas semula gerak kerja parti di semua peringkat.
“PKR Sabah perlu memastikan struktur organisasi dan gerak kerja jentera diperkukuh di setiap cabang. Keanggotaan mesti ditambah dan dimantapkan, jentera perlu bekerja keras, dan semangat perjuangan tidak boleh luntur.
“Setiap kerusi yang ditandingi PKR mesti dimenangi dengan keyakinan, iltizam dan usaha gigih. Mari kita buktikan bahawa PKR Sabah bersedia memikul amanah rakyat dan membawa perubahan yang bermakna untuk negeri ini,” katanya.
Anwar turut menyatakan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah kini jauh lebih baik berbanding pentadbiran sebelumnya.
Tegasnya, Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus membantu Sabah demi pembangunan yang lebih saksama, inklusif dan berimpak tinggi.
*FOTO : FACEBOOK ANWAR IBRAHIM