5 OGOS : Pembayaran secara bulanan kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara masih dalam kajian dan belum dimuktamadkan.
Namun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata pencen secara bulanan itu dilihat sebagai dasar yang lebih baik untuk negara.
“Tetapi dari segi dasar, sekiranya kita dapat berganjak kepada sistem seperti pencen, di mana simpanan itu boleh bergerak dan dibayar bulanan, ia mungkin lebih baik untuk negara.
“Kerana ia boleh menjamin untuk pesara mempunyai simpanan mencukupi apabila sampai masa untuk bersara kelak kerana masalah kita nampak sekarang bila orang itu dapat akses (kepada simpanan KWSP) kebanyakan mereka cepat habiskan.
“Jadi bila zaman akhir-akhir hidup, dia tak ada simpanan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Cukai Kebangsaan (NTC) 2025, hari ini.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 berkata kerajaan sedang melihat pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.