5 OGOS : Majlis konsultasi bagi Belanjawan 2026 dengan pemegang taruh akan dimulakan Khamis ini bagi mendapatkan maklum balas.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata sesi itu bakal berjalan sehingga draf akhir belanjawan disediakan.
Katanya, pada sesi itu kerajaan akan mengumpul maklumat bagi memastikan belanjawan yang disediakan itu memenuhi kehendak rakyat dan sektor swasta.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk mengumpulkan maklum balas daripada pelbagai pihak serta harapan mereka mengenai isi kandungan Belanjawan 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Forum Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) Nexus (CNF25), hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kerajaan akan mengambil kira segala inisiatif dan dasar yang sedang dilaksanakan termasuk situasi geopolitik serta cabaran semasa dalam merangka Belanjawan 2026.
Selain itu katanya, keutamaan juga akan diberikan kepada perkara yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan denyut nadi ekonomi negara dan secara umumnya PMKS menyumbang lebih kurang 70 peratus daripada pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Jadi, adalah penting untuk pihak kerajaan memahami isu-isu yang dihadapi oleh PMKS,” katanya.
Berdasar takwim Parlimen, Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan.