5 OGOS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan susulan aduan orang ramai berhubung penyebaran video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
MCMC dalam satu kenyataan berkata pihaknya memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan dan menimbulkan keresahan orang ramai.
“MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya.
Menurut suruhanjaya itu, penyebaran kandungan yang merendah atau menghina maruah individu seumpama itu bukan sahaja tidak beretika, malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.
Justeru itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Tegas MCMC, sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588].
“Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali,” kata MCMC.
Dalam pada itu, MCMC komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.