5 OGOS : PKR mengutuk tindakan menteri Israel, Itamar Ben-Gvir yang menceroboh Masjid Al-Aqsa secara terang-terangan termasuk melakukan ritual.
Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik menyeru Kerajaan Malaysia untuk secara terbuka dan tegas mengutuk tindakan Ben-Gvir serta menuntut Israel menghormati tapak suci agama selain mematuhi obligasi di bawah undang-undang antarabangsa.
“Kami mendesak Malaysia dan kerajaan ASEAN, bersama-sama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menekan pelaksanaan sekatan tertumpu seperti pembekuan aset serta larangan perjalanan terhadap pegawai rejim pendudukan Israel dan kumpulan peneroka yang terlibat dalam pelanggaran ini, sambil menghentikan tindakan punitif terhadap rakyat Palestin.
“Kami menuntut Malaysia memanfaatkan kedudukannya untuk menyokong siasatan antarabangsa ke atas jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan dasar genosid yang sedang dijalankan di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 3 Ogos lalu, Menteri Keselamatan Israel itu menceroboh dan melakukan ritual Talmudik, menyanyi serta menari di Masjid Al-Aqsa di bawah perlindungan ketat polis.
Tindakan biadab itu menerima kecaman dari pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Maszlee menyeru pemimpin global meminta pertanggungjawaban Israel, menyokong akses kemanusiaan segera ke Gaza dan menegaskan perlindungan terhadap tapak suci dan penduduk awam Palestin.
Tegasnya, tindakan pencerobohan itu pertama kali dilakukan seorang menteri yang sedang berkhidmat hingga mencetus kritikan meluas.
“Peningkatan provokasi politik dan agama yang belum pernah berlaku sebelum ini adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan serta merupakan provokasi yang tidak boleh diterima bertujuan untuk mengubah status sejarah dan undang-undang di Al-Aqsa,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Maszlee berkata tindakan Ben-Gvir itu satu pelanggaran terhadap Konvensyen Geneva Keempat yang mewajibkan kuasa pendudukan melindungi warisan budaya dan agama wilayah yang diduduki.
“Jerusalem Timur termasuk Al-Aqsa diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai wilayah pendudukan. Pencerobohan Ben-Gvir, yang dilakukan di bawah perlindungan polis, merupakan pelanggaran terhadap perlindungan ini.
“Ia boleh dianggap sebagai jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan kerana ia merupakan sebahagian daripada dasar yang lebih luas menyasarkan hak agama dan budaya rakyat Palestin,” katanya.