6 OGOS : Harga runcit diesel meningkat sebanyak 3 sen seliter bagi tempoh 7 hingga 13 Ogos, kata Kementerian Kewangan.
Namun katanya, peningkatan itu masih kekal rendah berbanding harga yang diapungkan pada 10 Jun tahun lalu.
“Seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM2.94 seliter.
“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, harga runcit petrol RON97 dan RON95 kekal masing-masing pada paras RM3.17 dan RM2.05 seliter.
Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Menurut kementerian itu, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kementerian itu.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).