6 OGOS : Iran berharap Malaysia terus mendepani usaha diplomatik dalam menentang genosid yang berterusan di Gaza.
Perkara itu disampikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan telefon, hari ini.
Menurut Anwar, Malaysia konsisten dengan komitmen yang dipegang bukan sekadar dengan kelantangan tapi juga menjalin kerjasama dengan pemimpin serantau dan global.
“Saya menerima panggilan telefon daripada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza.
“Beliau turut menggesa agar Malaysia terus mendepani usaha diplomatik dalam menentang kekejaman dan genosid yang masih berterusan di bumi Palestin.
“Saya tegaskan komitmen kita yang konsisten, bukan sahaja melalui kenyataan lantang di pentas antarabangsa malah dengan menggembleng kerjasama pemimpin serantau dan global termasuk Presiden Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar, dunia kini tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini sudah melampaui batas kemanusiaan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh soal hubungan dua hala dan usaha memperkukuh persahabatan.
“Kami turut berbicara mengenai hubungan dua hala Malaysia–Iran dan senada untuk terus memperkukuh persahabatan, khususnya dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
“Presiden Pezeshkian turut memanjangkan jemputan rasmi untuk saya mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat, dan saya sampaikan penghargaan atas kesediaan beliau untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK