6 OGOS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah untuk menyiasat penafian Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkait kenyataannya mengenai RON95.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan itu dan bertindak sewajarnya.
“PMO mengambil maklum kenyataan penafian oleh YB Ahli Parlimen Pagoh terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” menurut PMO dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, Anwar dilaporkan berkata ada menerima laporan bahawa terdapat ahli Parlimen pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi bahan api itu.
Namun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menafikan dakwaan itu dalam satu hantaran di Facebook rasminya.