7 OGOS : Lebih 3,000 kes HIV melibatkan golongan belia direkodkan tahun lalu menurut angka yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Dewan Rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad peningkatan itu melibatkan belia berusia antara 20 tahun hingga 39 tahun yang menyumbang 75 peratus kes tersebut.
“Jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia secara amnya telah mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus antara 2000 dan 2009. Namun, mulai 2010 sehingga kini, kadar penurunan semakin perlahanan iaitu hanya 27 peratus.
“Pada 2024, sebanyak 3,185 kes HIV baharu dilaporkan dengan kadar notifikasi 9.4 bagi setiap 100,000 penduduk. Majoritinya adalah dalam kalangan lelaki iaitu 90 peratus berbanding wanita 10 peratus.
“Trend ini menunjukkan peningkatan berbanding 1990an di mana wanita hanya satu peratus dan lelaki pula 99 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta penjelasan tentang keadaan semasa jangkitan HIV dalam negara termasuk jumlah pesakit mengikut kategori kumpulan umur, jantina dan punca utama jangkitan.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata penularan utama kes itu melalui transmisi seksual berbanding perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.
“Terkini, punca jangkitan HIV adalah melalui seksual iaitu 96 peratus pada tahun lalu, di mana 32 peratus jangkitan adalah secara heteroseksual dan 64 peratus homoseksual atau biseksual.
“Daripada jumlah itu, majoritinya adalah dalam kalangan lelaki iaitu 90 peratus berbanding wanita hanya 10 peratus,” katanya.
Menurut Dr Dzulkefly lagi, meski kadar jangkitan dalam kalangan wanita masih rendah namun ia menunjukkan peningkatan berbanding era 1990-an di mana wanita hanya mewakili satu peratus daripada keseluruhan kes, manakala lelaki mencatatkan 99 peratus.