8 OGOS : Kerajaan menepis dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkait perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan ia bukan soal gembira tetapi menyelamatkan periuk nasi rakyat Malaysia.
Tegasnya, keputusan kerajaan berkait tarif itu dibuat berdasarkan pengurusan krisis yang bertanggungjawab dan bagi melindungi kepentingan ekonomi negara khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang lebih RM198 bilion dalam eksport dan menyokong lebih 100,000 pekerjaan.
“Ini bukan soal ‘gembira’, Tun, tetapi soal menyelamatkan periuk nasi rakyat Malaysia.
“Kita berjaya mendapatkan kadar tarif 19 peratus yang sama seperti rakan-rakan ASEAN lain, dengan keutamaan kepada kestabilan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Dr Mahathir mengkritik keputusan kerajaan menerima pengurangan tarif daripada 25 peratus kepada 19 peratus dan mendakwa Malaysia memansuhkan kesemua cukai ke atas 11,000 produk dari AS sebagai balasan.
Selain itu, Dr Mahathir turut mendakwa kerajaan bersetuju untuk membekalkan unsur nadir bumi (REE) kepada AS dan menyifatkan perjanjian itu sebagai tidak menguntungkan serta merugikan ekonomi negara.
“Kerajaan nampaknya gembira dengan perjanjian yang dirundingkan dengan Trump. Malaysia memansuhkan semua cukai ke atas 11,000 produk dari AS sedangkan AS hanya mengurangkan tarif sebanyak 6 peratus. Ini bukan perjanjian yang baik.
“Kenapa Malaysia begitu bodoh menerima hanya 5 peratus daripada nilai sebenar sedangkan kita boleh dapat banyak kali ganda?” katanya.
Menjawab dakwaan itu, Tengku Zafrul menyarankan Dr Mahathir menyemak fakta sebelum membuat kenyataan
“Tak salah untuk mengkritik, tapi bila kritikan itu berlandaskan kepada tuduhan palsu, itu salah.
“100 peratus dan 60 peratus itu sangat berbeza. Tuduhan tersebut jelas tidak benar,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian secara lisan atau bertulis untuk Malaysia membekalkan REE kepada AS atau mana-mana negara lain.