9 OGOS : Pemuda UMNO akan membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dipercayai berlaku di Pulau Pinang.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata arahan itu dikeluarkan kepada semua negeri bagi menuntut kerajaan bertindak tegas terhadap perbuatan yang menghina itu.
“Ini adalah satu penghinaan. Saya sudah bagi tahu, kita mesti kenakan tindakan yang keras kepada mereka yang tak tahu nak menghormati negara ini. Lepas ini mohon maaf, lepas itu (kita) biarkan saja. Semua orang akan buat begitu (ulang kesalahan sama).
“Kita perlu bagi pengajaran yang keras pada mereka ini. Saya dah arahkan kepada Pemuda UMNO Pulau Pinang dan juga Pemuda UMNO seluruh Malaysia untuk buat laporan polis mulai malam ini.
“Saya minta juga kepada seluruh rakyat Malaysia, kita sama-sama buat laporan polis. Biar kita kenakan tindakan, kita desak kerajaan kenakan tindakan kepada petualang yang tak tahu nak menghormati bendera Malaysia dan juga menghormati negara ini. Inilah orang kata ibarat kaduk naik junjung,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, tular klip video seorang lelaki mengibar Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan sebuah kedai.
Dalam pada itu, Akmal juga mempersoalkan sama ada masih wujud pihak yang akan membela individu yang menghina Jalur Gemilang seumpama itu.
“…seolah-olah menghina, siap minta orang ambil gambar lagi meletakkan bendera kita (Jalur Gemilang) ini secara terbalik. Kerana apa? kerana tak pernah kisah pun nak hormatkan negara ini.
“Saya nak tanya, ada orang tak nak ‘backup’ orang ini? Orang ini OKU (Orang Kurang Upaya) juga ke? Sampai minta orang ambil gambar dia angkat bendera secara terbalik,” katanya.
Selain itu, Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada individu dalam video tersebut yang secara terang-terangan sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik seolah-olah menghina lambang negara.
“Jangan hanya sekadar meminta maaf sahaja!!! Tindakan tegas perlu diberikan kepada petualang ini agar dapat memberikan pengajaran kepada sesiapa yang nak menghina negara ini
“Negara ini ada maruahnya! Jika maruah negara ini sedang dipijak dan kita tidak berbuat apa-apa, maka hinalah diri kita ini yang bergelar rakyat Malaysia,” katanya.